"Pelanggan Diutamakan, Janji Dikotakan"

Berita Terkini

LAWATAN TAPAK OLEH PENGARAH KERJA RAYA TERENGGANU

LAWATAN TAPAK OLEH PENGARAH KERJA RAYA TERENGGANU

Lawatan Tapak oleh Pengarah Kerja Raya Terengganu, Ir Haji Che Kamaruddin bin Bahar ke 5 Tapak Projek iaitu Tapak Projek...

MAJLIS PERJUMPAAN YB SETIAUSAHA KERAJAAN TERENGGANU BERSAMA WARGA KERJA WISMA NEGERI

MAJLIS PERJUMPAAN YB SETIAUSAHA KERAJAAN TERENGGANU BERSAMA WARGA KERJA WISMA NEGERI

Majlis Perjumpaan YB Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Wan Nawawi bin Wan Ismail bersama Warga Kerja Wisma Negeri yang diadakan pada...

PERUTUSAN TAHUN BARU 2018 DARI PENGARAH KERJA RAYA NEGERI TERENGGANU, Ir. HJ. CHE KAMARUDDIN BIN BAHAR

ny17

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh white
Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia ,

Segala puji-pujian hanyalah bagi Allah S.W.T Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad S.A.W Rasul terakhir, ke atas keluarga dan sahabat-sahabat baginda serta para tabi'in dan orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda hingga hari kemudian.

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya kita masih dapat meneruskan kehidupan ini seterusnya berpeluang untuk menyambut tahun baru 2018 serta diberi peluang untuk terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai penjawat awam di Jabatan Kerja Raya Terengganu. Segala kenangan manis dan pahit sepanjang 2017 perlu dijadikan iktibar dan pedoman yang berguna untuk memastikan kesinambungan fungsi JKR sebagai agensi teknikal utama di Malaysia dan di Negeri Terengganu khususnya.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan di atas sokongan, komitmen dan kerjasama padu yang telah diberikan oleh semua warga JKR Terengganu dalam melaksanakan tugas dengan penuh kesungguhan dan berintegriti sepanjang tahun 2017. Usaha gigih dan pengorbanan anda semua amat saya hargai dan sanjungi.

Tahun 2017 kini telah melangkah meninggalkan kita. Banyak kenangan, peristiwa serta kejayaan yang telah dilalui oleh JKR Terengganu. Di antara kejayaan yang telah dikecapi adalah seperti kejayaan JKR Terengganu menganjurkan Sukan JKR SeMalaysia 2017 di mana karnival sukan tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dari JKR seluruh Malaysia. Selain itu, JKR Terengganu juga menjadi tuan rumah bagi Program Pemantapan Integriti dan Sahsiah Diri JKR Malaysia Tahun 2017 yang telah diadakan di Pulau Redang. Program ini telah berjaya memupuk kerjasama di antara JKR Terengganu dan JKR Ibu Pejabat selaku jawatankuasa bersama.

Kejayaan JKR Terengganu diteruskan dengan JKR Besut memenangi Naib Johan Anugerah Pengurusan Projek sempena Hari Inovasi JKR Malaysia. JKR Terengganu juga telah dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2016 dan mendapat penarafan 5 bintang. Selain itu, JKR Terengganu juga telah mengorak langkah dalam bidang inovasi di mana produk inovasi Kumpulan KIK JKR Kemaman iaitu kejayaan Longkang Bertanggam mendapat Sijil Hak Cipta / Inovasi yang Pertama bagi JKR Malaysia. Ini membuktikan bahawa JKR Terengganu bergerak seiring dengan hasrat jabatan bagi mewujudkan produk berinovasi yang boleh dikomersialkan. Kejayaan-kejayaan tersebut haruslah di lestarikan pada tahun-tahun seterusnya oleh semua Bahagian, Cawangan dan Daerah di JKR Terengganu.

Perkembangan teknologi komunikasi dewasa ini telah memberi impak dan pengaruh yang sangat berkuasa kepada komoditi dunia.Penggunaan laman sosial seperti facebook, twitter, Instagram dan sebagainya telah berkembang dengan mendadak saban tahun dan ini tidak terkecuali di negara kita. Sudah tentu, melalui platform ini, isu kebebasan bersuara melalui laman sosial ini telah meninggalkan impak yang positif mahupun sebaliknya. Maka jika pengaruh media sosial ini tidak ditangani dengan bijaksana, ia akan mewujudkan persepsi yang negatif terhadap individu, organisasi dan kerajaan yang sukar dikawal dan dibendung. Namun begitu, saya percaya, jika media sosial diurustadbir dengan bijak, sudah tentu ianya akan memberi impak yang positif khususnya dalam aktiviti promosi dan penjenamaan korporat JKR Terengganu.

Justeru itu, menyedari kepentingan media sosial dalam penyampaian perkhidmatan JKR, satu program mempromosikan media sosial telah diadakan di JKR Terengganu pada 24 Oktober 2017. Program ini melibatkan Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK), Ibu Pejabat JKR Malaysia. Program ini menjadi medium perkongsian maklumat berkenaan media sosial di mana garis panduan penggunaan media sosial dibentangkan. Selain itu, sesi hands on pembangunan infografik untuk promosi turut diadakan. Melalui sesi ini kita dapat mempelajari teknik dan cara untuk menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih menarik dan berkesan.

KE ARAH TRANSFORMASI TERENGGANU BAHARU (TTB) DAN TRANSFORMASI NASIONAL 2050 (TN50)

Seiring dengan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang menjadi matlamat kerajaan Negeri Terengganu dan Transformasi Nasional 2050 (TN50) oleh Kerajaan Persekutuan, JKR Terengganu tidak ketinggalan dalam mengorak langkah ke arah matlamat tersebut. Penambahbaikan terhadap penyampaian perkhidmatan akan dibuat secara berterusan bagi memenuhi kehendak setiap stakeholder jabatan. Idea – idea baru daripada generasi Y yang berada di JKR Terengganu ini akan diperhalusi dan digunapakai mengikut kesesuaian seiring dengan matlamat TN50. JKR Terengganu juga mengalu-alukan segala aduan dan pandangan yang membina untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kepada para pelanggan.

KETERSEDIAAN WARGA JKR TERENGGANU UNTUK BERUBAH

Memetik kata-kata Khalifah Islam Saidina Ali bin Abi Talib bahawa “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celaka lah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam”.

Berpaksikan falsafah ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, kita selaku penjawat awam sentiasa diseru agar memberikan perkhidmatan terbaik selaras dengan peredaran dan kehendak semasa yang mempunyai nilai tambah kerana setiap penjawat awam adalah ejen transformasi paling hadapan dan perantara utama antara rakyat dan kerajaan.

HARAPAN & ILTIZAM 2018
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2018. Semoga tahun 2018 akan membawa lebih kejayaan dan kecemerlangan kepada kita semua dalam era globalisasi ini khususnya dalam bidang pengurusan projek, pengurusan aset dan khidmat teknikal.

Justeru itu, pada tahun 2018, saya mengharapkan JKR Terengganu melalui sokongan padu, komitmen dan disiplin tinggi dan kerjasama yang jitu akan terus melangkah dengan lebih cemerlang, selaras dengan dasar-dasar kerajaan, penghayatan visi, misi, piagam pelanggan. Pembaharuan dan inovasi amatlah diharapkan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama melipatgandakan usaha demi merakyatkan perkhidmatan yang diberikan, menyumbang ke arah meningkatkan syiar Islam, serta membangun umat dan negara ke arah kecemerlangan, kegemilangan dan keredhaan Allah S.W.T.

SELAMAT TAHUN BARU 2018 kepada seluruh warga JKR Terengganu.

Ir. HJ. CHE KAMARUDDIN BIN BAHAR
Pengarah

Jabatan Kerja Raya Terengganu

JKR Terengganu

JKR Negeri Terengganu

Tingkat 12, Wisma Negeri,
Jalan Pejabat,
20200 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman

Telefon : +609 622 2444 Faks:+609 623 5624
E-mail  : jkr@terengganu.gov.my

Peta Ke JKR TERENGGANU

Bookmaker review site http://wbetting.co.uk/ for William Hill